Saturday, October 14, 2023

Piala Dunia FIFA

 

Piala Dunia FIFA, atau selalunya disebut sebagai Piala Dunia (bahasa Inggeris: FIFA World Cup) merupakan pertandingan yang paling penting dalam bola sepak antarabangsa. Ia dianjurkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Federation Internationale de Football Association), organisasi yang mentadbir sukan berkenaan dan ia dipertandingkan oleh pasukan-pasukan bola sepak kebangsaan lelaki dari kalangan negara-negara ahli FIFA. Kejohanan ini diadakan setiap empat tahun sejak 1930 (kecuali dalam tahun 1942 dan 1946 disebabkan oleh Perang Dunia Kedua). Walau bagaimanapun, ia lebih merupakan acara yang sentiasa berjalan kerana pertandingan kelayakan mengambil masa tiga tahun di antara pusingan-pusingan akhir.

Fasa pertandingan akhir (biasanya dipanggil sebagai pusingan akhir) melibatkan 32 pasukan kebangsaan yang bertanding selama empat minggu di negara tuan rumah yang dicalonkan, yang mana pertandingan ini merupakan pertandingan yang paling ramai penontonnya di dunia.

Sepanjang 19 kejohanan yang telah diadakan, hanya lapan negara sahaja yang pernah memenangi pusingan akhir Piala Dunia iaitu Brazil yang menang sebanyak lima kali kejuaraan dan juga satu-satunya pasukan yang tidak terlepas satu kejohanan pun; diikuti gergasi eropah Itali dan Jerman dengan empat kejuaraan; Uruguay (juara pertama Piala Dunia) , Argentina dan Perancis dengan dua kejuaraan setiap satu pasukan; serta England, dan Sepanyol satu. Juara semasa adalah Pasukan bola sepak kebangsaan Perancis yang diadakan di Russia.


Sejarah

Perlawanan bola sepak antarabangsa yang pertama telah dilangsungkan pada tahun 1872 di antara England dan Scotland, walaupun pada peringkat ini sukan ini telah jarang dimainkan di luar Great Britain. Disebabkan populariti bola sepak ini mula meningkat, ia menjadi satu sukan pertunjukan (dengan tiada pingat dihadiahkan) pada 1900, 1904 dan 1906 sebelum bola sepak menjadi pertandingan rasmi pada Sukan Olimpik 1908. Diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak England, acara ini hanya menjadi acara bagi pemain amatur dan lebih dianggap sebagai satu pertunjukan daripada satu pertandingan. Pasukan bola sepak kebangsaan amatur England telah memenangi acara berkenaan pada kedua-dua tahun 1908 dan 1912.

Kesinambungan acara berkenaan dengan acara Olimpik hanya boleh dipertandingan di antara pasukan-pasukan amatur sahaja, Sir Thomas Lipton mengadakan pertandingan Piala Sir Thomas Lipton di Turin pada 1909. Pertandingan ini biasanya digambarkan sebagai Piala Dunia Pertama, dan memaparkan kelab-kelab ternama dari Itali, Jerman dan Switzerland. Pertandingan julung kali ini telah dimenangi oleh Auckland Barat, pasukan amatur daripada timur-laut England yang telah dijemput selepas persatuan bola sepaknya menolak untuk dikaitkan dengan pertandingan berkenaan. Auckland Barat kembali pada 1911 untuk mempertahankan kejuaraan berkenaan dan piala berkenaan telah diberikan kepada kelab berkenaan selama-lamanya mengikut peraturan pertandingan tersebut.

Dalam tahun 1914, FIFA bersetuju untuk mengiktiraf pertandingan Olimpik sebagai "pertandingan dunia untuk amatur", dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada pengurusan acara berkenaan. Ini memberikan laluan kepada pertandingan antara benua yang pertama, pada Sukan Olimpik 1924. Uruguay telah memenangi kejohanan berkenaan, sebelum memenangi pingat emasnya kembali pada tahun 1928, dengan pasukan Amerika Selatan yang lain. Argentina merangkul pingat perak. Pada 28 Mei 1928, FIFA telah membuat keputusan untuk mempertandingkan sendiri kejohanan itu. Dengan Uruguay sekarang mempunyai dua kali gelaran kejuaraan dan demi meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-100 pada tahun 1930, FIFA menamakan Uruguay sebagai tuan rumah piala dunia yang pertama.


Piala Dunia rasmi pertama

Sukan Olimpik 1932 yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat tidak merancang untuk memasukkan bola sepak sebagai sebahagian daripada program disebabkan popularitinya yang rendah di Amerika Syarikat. FIFA dan IOC juga tidak bersetuju mengenai status amatur. Oleh sebab itu, acara bola sepak digugurkan daripada kejohanan berkenaan. Presiden FIFA, Jules Rimet seterusnya merancang untuk mengadakan Kejohanan Piala Dunia Perdana di Uruguay pada tahun 1930. Pertubuhan bola sepak kebangsaan daripada negara-negara yang dipilih telah dijemput untuk menghantar satu pasukan, tetapi pilihan Uruguay sebagai satu tuan rumah bermakna satu perjalanan yang memakan kos dan masa yang panjang merentasi Lautan Atlantik bagi pasukan dari Eropah. Sebenarnya, tiada negara Eropah yang sanggup untuk menghantar satu pasukan sehinggalah dua bulan sebelum bermulanya pertandingan berkenaan. Rimet akhirnya berjaya memujuk pasukan-pasukan dari Belgium, Perancis, Romania, dan Yugoslavia untuk membuat perjalanan tersebut. Dalam jumlah 13 negara yang mengambil bahagian — tujuh daripadanya adalah dari Amerika Selatan, empat dari Eropah dan dua dari Amerika Utara.

Dua perlawanan Piala Dunia sulung ini berjalan serentak dan telah dimenangi oleh Perancis dan Amerika Syarikat, yang masing-masing mengalahkan Mexico 4-1 dan Belgium 3-0. Gol pertama dihasilkan dalam sejarah Piala Dunia telah dijaringkan oleh Lucien Laurent daripada Perancis. Empat hari berikutnya, hat-trick Piala Dunia pertama dijayakan oleh Bert Patenaude daripada Amerika Syarikat dalam kemenangan 3-0 menentang Paraguay. Dalam perlawanan akhir, Uruguay telah mengalahkan Argentina 4-2 di hadapan 93,000 penonton di Montevideo, dan menjadi negara pertama yang memenangi kejohanan bola sepak Piala Dunia.


Pengembangan

Isu-isu yang dihadapi pada permulaan kejohanan Piala Dunia adalah kerumitan perjalanan antara benua dan peperangan. Hanya sedikit pasukan Amerika Selatan sanggup untuk pergi ke Eropah bagi kejohanan pada 1934 dan 1938, dengan Brazil menjadi pasukan Amerika Selatan tunggal yang bertanding pada kedua-dua kejohanan. Pertandingan pada 1942 dan 1946 telah dibatalkan akibat Perang Dunia II.

Piala Dunia 1950 adalah yang pertama melibatkan British. Pasukan-pasukan British mengeluarkan pasukan mereka daripada FIFA pada tahun 1920, sebahagiannya adalah kerana tidak mahu bermain dengan negara-negara yang berada di dalam peperangan dengan mereka, sebahagian lagi sebagai satu bantahan terhadap pengaruh luar di dalam bola sepak, tetapi kembali bergabung dalam tahun 1946 sempena jemputan daripada FIFA. Pertandingan tersebut menyaksikan kembalinya juara 1930 Uruguay, yang telah memboikot kedua-dua kejohanan Piala Dunia sebelumnya.

Dalam kejohanan-kejohanan di antara 1934 dan 1978, 16 pasukan telah layak untuk setiap pertandingan pusingan akhir (kecuali dalam beberapa kes di mana pasukan-pasukan menarik diri selepas layak bertanding). Kebanyakan daripadanya adalah daripada Eropah dan Amerika Latin, dengan minoriti yang sangat kecil daripada Afrika, Asia dan Oceania. Pasukan-pasukan ini biasanya mudah dikalahkan oleh pasukan Eropah dan Amerika Latin kecuali Korea Selatan, yang berjaya mencapai suku akhir pada 1966).

Pusingan akhir itu telah dikembangkan kepada 24 pasukan pada 1982, kemudian 32 pada 1998, membenarkan lebih banyak pasukan daripada Afrika, Asia dan Amerika Utara untuk mengambil bahagian. Sejak akhir-akhir ini, peserta-peserta baru ini mendapat lebih banyak kejayaan dengan Cameroon mencapai suku akhir pada 1990, dan Korea Selatan. Senegal dan Amerika Syarikat, kesemuanya mencapai peringkat kalah mati dalam pada 2002. 197 negara mencuba untuk layak dalam edisi 2006, dan kesemuanya kecuali tiga daripada 207 negara-negara ahli FIFA pernah memasuki pertandingan tersebut, dengan ahli-ahli baru Comoros dan Timor Timur masih belum lagi berpeluang untuk berbuat demikian, dan Bhutan ahli tunggal yang belum memasuki pertandingan berkenaan.

Kejohanan yang seumpamanya untuk bola sepak wanita, Piala Dunia Wanita FIFA, dianjurkan dalam tahun 1991. Formatnya serupa seperti kejohanan lelaki, tetapi sehingga sekarang kejohanan berkenaan tidak menjana minat yang sama seperti dalam kejohanan lelaki.


Trofi

Daripada 1930 hingga ke 1970, Trofi Jules Rimet telah dihadiahkan kepada pemenang piala berkenaan. Pada mulanya ia dikenali sebagai Piala Dunia,World Cup atau Coupe du Monde tetapi dinamakan semula dalam tahun 1946 di atas jasa presiden FIFA yang telah menguruskan kejohanan pertama. Dalam 1970, kemenangan ketiga Brazil dalam kejohanan tersebut membolehkan mereka menyimpan trofi berkenaan selama-lamanya. Bagaimanapun, trofi berkenaan telah dicuri pada tahun 1983, dan tidak pernah ditemui kembali.

Selepas 1970, satu trofi baru dikenali sebagai Trofi Piala Dunia FIFA telah direka. Trofi ini tidak dihadiahkan kepada negara-negara pemenang selama-lamanya walaupun berapa banyak Piala Dunia yang telah mereka menang. Argentina, Jerman (Jerman Barat) Itali dan Brazil telah memenangi trofi berkenaan dua kali. Ia tidak akan diturunkan sehingga nama plak telah dipenuhkan dengan nama-nama negara pemenang dalam tahun 2038.


Format

Kelayakan

Sejak kejohanan bola sepak Piala Dunia kedua pada 1934, pertandingan kelayakan telah diadakan untuk mengurangkan jumlah pasukan di pusingan akhir. Ia telah diadakan di setiap zon benua FIFA (Afrika, Asia, Amerika Utara, Timur Tengah dan Caribbean, Amerika Selatan, Oceania, Eropah) yang diselia oleh konfederasi gabungan masing-masing. Bagi tiap-tiap pertandingan, FIFA memutuskan bilangan tempat yang dihadiahkan pada setiap zon sebelum ia bermula berdasarkan kekuatan relatif pasukan-pasukan konfederasi, dan juga bergantung kepada aktiviti melobi daripada konfederasi.

Proses kelayakan boleh bermula seawal tiga tahun sebelum pertandingan pusingan akhir dan yang paling lambat dalam jangka waktu dua tahun. Format kelayakan bagi sesebuah pertandingan berbeza di antara setiap konfederasi. Biasanya, satu daripada dua tempat dihadiahkan kepada pemenang perlawanan-penentuan antara benua. Sebagai contoh, pemenang antara zon Oceania dan pasukan tempat kelima daripada Amerika Selatan memasuki perlawanan-penentuan untuk memutuskan pasukan mana layak untuk ke Piala Dunia 2006.. Daripada Piala Dunia 1938 dan seterusnya, negara tuan rumah menerima tempat automatik dalam pusingan akhir. Kelebihan ini juga telah diberikan kepada juara bertahan, tetapi mulai 2006 dan seterusnya, kelebihan ini ditarik balik yang memerlukan juara untuk melayakkan diri seperti negara-negara yang lain..


Pusingan akhir

Pertandingan pusingan akhir yang terkini memaparkan 32 pasukan kebangsaan bertanding selama sebulan di negara tuan rumah. Terdapat dua pusingan, satu peringkat kumpulan dan satu lagi peringkat kalah mati.

Di dalam peringkat pertama (peringkat kumpulan), pasukan-pasukan akan dibahagikan ke dalam lapan kumpulan yang mengandungi empat negara. Lapan pasukan pilihan berdasarkan kedudukan ranking diletakkan dalam kumpulan berbeza. Pasukan lain diundi secara rawak. Semenjak 1998, kekangan diberikan pada cabutan untuk memastikan bahawa tiada kumpulan mengandungi lebih daripada dua pasukan Eropah atau lebih daripada satu pasukan daripada setiap konfederasi yang lain. Setiap kumpulan bermain satu pertandingan pusingan-peringkat kumpulan, memastikan bahawa setiap negara yang layak dapat bermain paling kurang tiga perlawanan. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan diadakan serentak untuk menghalang sebarang pakatan di antara negara-negara. Semenjak 1994, tiga mata diberikan kepada satu kemenangan, satu mata kepada seri dan tiada mata yang diberikan kepada kekalahan (sebelum ini, pemenang hanya menerima dua mata). Dua pasukan teratas akan berjaya melayakkan diri ke peringkat kedua (peringkat kalah mati).

Peringkat kalah mati adalah perlawanan penyingkiran di mana setiap pasukan berlawan sesama mereka dalam perlawanan tunggal, dengan masa tambahan dan tendangan penalti digunakan untuk menentukan pemenang, sekiranya perlu. Dalam pusingan 16, pemenang setiap kumpulan akan menentang naib juara kumpulan lain. Ini akan diikuti pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir. Pihak yang kalah pada peringkat separuh akhir akan berlawan dalam penentuan tempat ketiga.


Pemilihan tuan rumah

Pada awal kejohanan Piala Dunia, hak tuan rumah diberikan kepada negara-negara di pertemuan mesyuarat kongres FIFA. Pemilihan lokasi adalah sangat kontroversi, memandangkan perjalanan kapal tiga minggu antara Amerika Selatan dan Eropah, dua kuasa bola sepak pada masa itu. Keputusan untuk melangsungkan kejohanan itu di Uruguay, sebagai contoh, membawa kepada hanya empat negara Eropah sahaja yang bertanding. Dua kejohanan Piala Dunia seterusnya telah diadakan di Eropah. Keputusan untuk menentukan tempat tuan rumah salah satunya, Piala Dunia 1938 di Perancis adalah kontroversi, kerana negara-negara Amerika Selatan telah difahamkan bahawa tuan rumah Piala Dunia seharusnya bergilir antara dua benua. Kedua-dua Argentina dan Uruguay memboikot pertandingan tersebut. Selepas Perang Dunia ke-II, untuk mengelakkan boikot atau kontroversi akan datang, FIFA telah memulakan satu corak perselangan di antara Amerika Selatan/Utara dan Eropah, sehinggalah Piala Dunia FIFA 1998. Sistem ini diubah supaya negara tuan rumah akan dipilih dalam satu pengundian oleh jawatankuasa eksekutif FIFA. Ini dibuat di bawah sistem pengundian pemindahan tunggal. Keputusan kini dibuat enam tahun sebelum pertandingan bermula.


Liputan media

Piala Dunia pertama kali ditayangkan dalam tahun 1954 dan kini menjadi acara yang paling ramai penonton dan paling diikuti di dunia, melebihi Sukan Olimpik. Penonton terkumpul bagi acara kejohanan Piala Dunia 2002 untuk keseluruhan perlawanan — dianggarkan 28.8 bilion. 1.1 bilion individu telah menyaksikan perlawanan akhir kejohanan ini. Cabutan, yang mana menentukan pengagihan pasukan-pasukan ke dalam kumpulan-kumpulan, disaksikan oleh 300 juta penonton.

Setiap kejohanan Piala Dunia mempunyai maskotnya sendiri. World Cup Willie, maskot untuk 1966, adalah maskot Piala Dunia pertama. Maskot-maskot untuk Piala Dunia FIFA 2006 adalah Goleo, seekor singa, dan Pille, sebiji bola sepak

BOLA SEPAK

 

Bola sepak juga di beberapa kawasan di Indonesia: sepak bola ialah sukan berpasukan yang dimainkan oleh dua pasukan yang mana setiap pasukan terdiri daripada 11 orang pemain yang menggunakan kaki mereka untuk mengawal bola di sekeliling padang yang berbentuk segi empat tepat, di atas rumput atau rumput buatan.

Pada amnya, hanya penjaga gol sahaja yang dibenarkan menyentuh bola dengan tangan di dalam kawasan golnya yang dipanggil kotak penalti manakala 10 pemain lainnya hanya dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya selain daripada tangan, kebiasannya kaki untuk menyepak, dada untuk mengawal, dan kepala untuk menanduk bola. Pasukan yang memiliki gol terbanyak pada akhir perlawanan ialah pemenangnya. Jika sehingga masa berakhir kedua-dua pasukan seri, maka boleh dilakukan undian, pembaharuan masa ataupun tendangan penalti, bergantung kepada format penganjuran kejohanan.

Undang-undang perlawanan pada awamnya dikemas kini setiap tahun oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa.


Sejarah

Berbagai-bagai jenis permainan bola juga telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah. Pada abad ke-19, permainan bola di sekolah-sekolah United Kingdom (yang mempunyai cara permainan yang berlainan mengikut sekolah) menjadi lebih terkenal. Lantaran itu, cara permainannya juga lebih teratur. Undang-undang awal diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan yang berlainan itu dan memudahkan pemain-pemain. Sukan bola sepak mula dimasyhurkan penjajah British di alam Nusantara melalui Risalat Peraturan Bola Sepak Yang Dinamai oleh Inggeris Football dicetak di Singapura tahun 1859.

Persatuan Bola Sepak England (The Football Association) telah ditubuhkan pada 1863 oleh beberapa kelab bola sepak. Persatuan ini berjaya menggubal undang-undang formal bola sepak yang pertama di dunia. Undang-undang ini kemudian berkembang menjadi Undang-undang bola sepak hari ini.

Urusan Undang-undang Bola Sepak dikendalikan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (International Football Association Board). Lembaga ini ditubuhkan pada 1886 dan mempunyai lapan ahli – empat wakil FIFA, empat wakil persatuan bola sepak England, Scotland, Wales dan Ireland Utara. Segala pemindaan Undang-undang Bola Sepak perlu diluluskan oleh Lembaga melalui undian majoriti. 

Mengikut kajian yang dilakukan oleh Fédération Internationale de Football Association (FIFA), badan pentadbir bola sepak, yang diterbitkan dalam musim bunga 2001, lebih daripada 240 juta orang biasanya bermain bola sepak dalam lebih daripada 200 negara di seluruh pelusuk dunia. Peraturannya yang mudah dan memerlukan peralatan yang sedikit tidak syak lagi menolong penyebaran dan tumbesaran dalam popularitinya. Sebelum abad ke-21, sukan ini telah dimainkan lebih daripada 250 juta orang di lebih buah 200 negara.


Cara permainan

Bola sepak ialah sejenis permainan yang dimainkan antara dua pasukan yang mengandungi 11 orang pemain yang masing-masing cuba memenangi perlawanan dengan menjaringkan lebih gol daripada pasukan lawannya. Satu gol ialah hasil hantaran bola yang merentasi garisan gol yang terletak di antara tiang gol dan palang gol. Bola sepak dimainkan dengan menggunakan kedua-dua belah kaki, tetapi para pemain dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya kecuali tangan. Penjaga gol yang bertugas mengelakkan bola daripada merentasi garisan gol pula dibenarkan menggunakan tangannya untuk menangkap bola di dalam kawasan penalti.

Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol memenangi sesebuah perlawanan. Namun, kalau kedua-dua menjaringkan jumlah gol yang sama, perlawanan itu dianggap seri. Dalam pertandingan kalah mati, bagi menentukan pemenang, masa 30 minit (masa tambahan) akan ditambah jika kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama dalam 90 minit yang asal. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih pada masa berlebihan ini memenangi perlawanan.

Jika masa berlebihan tidak dapat menentukan pemenang, sepakan penalti akan diadakan. Setiap pasukan diberikan 5 sepakan penalti. Pasukan yang menjaringkan penalti yang lebih memenangi perlawanan.


Teknik

Peraturan perlawanan tidak mengkhususkan kedudukan pemain-pemain selain pejaga gol. Bagaimanapun, semasa perubahan kemajuan perlawanan sukan ini, sebilangan pemain yang tertentu telah berubah. Mereka termasuklah:

pertahanan - pemain yang pakar dalam menyekat serangan atau mencegah musuh daripada membuat jaringan

pemain tengah - pemain yang melakukan serangan dan memberikan lorongan bola kepada penyerang, tetapi juga menolong pertahanan dengan mengganggu serangan pasukan lawan pada peringkat awal.

penyerang - pemain-pemain yang berperanan menjaringkan gol.

Kedudukan-kedudukan ini selanjutnya dibezakan oleh bahagian mana pemain banyak menghabiskan masa. Sebagai contoh, terdapat pertahanan tengah dan pemain tengah kiri.

Para pemain mungkin menghabiskan kebanyakan masa dalam perlawanan dalam bahagian tertentu di padang; bagaimanapun, mereka tidak dikekang oleh peraturan sukan dan boleh berubah kedudukan pada bila-bila masa. Cara permainan ini juga boleh diguna pakai oleh penjaga gol, yang biasanya menghabiskan kebanyakan masa perlawanan berhampiran dengan gol tetapi boleh melibatkan diri dalam permainan berpasukan. Perkara ini biasanya hanya berlaku pada tendangan percuma atau tendangan sudut di akhir perlawanan itu.

Susun atur para pemain di padang dipanggil sebagai formasi. Bagi menggambarkan satu formasi, tiga nombor digunakan. Nombor pertama menentukan berapa banyak pemain pertahanan digunakan, yang kedua ialah bilangan pemain tengah yang akan digunakan dan yang ketiga ialah bilangan penyerang. Formasi yang terkenal dalam bola sepak moden termasuklah 4-4-2, 4-3-3, 3-5-2, 3-4-3 dan 4-5-1.

Jurulatih biasanya berperanan mengatur formasi dan taktik sesebuah pasukan.


Kejohanan antarabangsa

Pertandingan antarabangsa terbesar dalam arena bola sepak ialah Piala Dunia FIFA yang dianjurkan oleh FIFA. Seperti yang diketahui, Piala Dunia FIFA diadakan sekali setiap empat tahun dan bermula di Uruguay pada tahun 1930. Lebih daripada 200 negara berlumba-lumba di peringkat kelayakan mengikut zon sebelum dapat melayakkan diri ke peringkat akhir. Perlawanan peringkat akhir ini biasanya berlangsung selama empat Ahad dan kini melibatkan 32 pasukan (naik dari 24 pada tahun 1998). Brazil telah muncul sebagai pasukan yang paling berjaya dalam Piala Dunia FIFA dengan muncul sebagai juara sebanyak 5 kali, dengan kemenenangan terkemudian dalam tahun 2002.

Pertandingan antarabangsa tertua dalam arena bola sepak ialah Copa América yang dianjurkan oleh CONCACAF. Seperti yang diketahui, Copa América diadakan sekali setiap dua tahun dan bermula di Argentina pada 1916.

Piala Dunia FIFA

  Piala Dunia FIFA, atau selalunya disebut sebagai Piala Dunia (bahasa Inggeris: FIFA World Cup) merupakan pertandingan yang paling penting ...